Saturday, December 19, 2009

Ku Li sedia beri penjelasan isu royalti

GUA MUSANG 19 Dis. – Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau bersedia memberi penjelasan berhubung isu tuntutan royalti minyak daripada kerajaan negeri Kelantan demi faedah rakyat Kelantan.

Beliau berkata, penjelasan itu akan dibuat pada perhimpunan raksasa anjuran 51 badan bukan kerajaan (NGO) di Kota Bharu dalam masa terdekat bagi seluruh rakyat Kelantan untuk mendapat gambaran sebenar mengenai perkara itu.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih lanjut dan tunggulah masanya nanti kerana saya dijemput hadir pada perhimpunan berkenaan,” katanya semasa berucap pada perjumpaan dengan penduduk Kampung Mercu Jaya, dekat sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, badan NGO itu sudah berbincang dengannya dan beliau telah memberi persetujuan untuk hadir pada perhimpunan terbesar rakyat Kelantan dan tarikhnya akan ditetapkan nanti.

“Mungkin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara yang saya nyatakan nanti tetapi diharapkan mereka memahami perkara sebenar,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pusat mengumumkan pemberian wang ihsan menggantikan bayaran royalti minyak pada tahun depan kerana operasi cari gali petroleum berada di luar tiga batu nautika daripada perairan Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan akan mengemukakan tuntutan royalti minyak di mahkamah berjumlah RM2 bilion sejak operasi cari gali petroleum bermula 2005, mengikut perjanjian Petronas-kerajaan negeri 1974, yang ketika itu Tengku Razaleigh merupakan Pengerusi Petronas.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, beliau menerima banyak desakan untuk menjelaskan perkara sebenar royalti minyak itu berikutan kegiatan cari gali minyak membabitkan pesisiran pantai Kelantan.
Katanya, segala-galanya mengenai isu berkenaan ada dalam pengetahuannya kerana royalti minyak itu mempunyai jumlah yang besar membabitkan berbilion ringgit dan memberi faedah kepada rakyat negeri ini

Sumber: Utusan Malaysia

Ku Li sedia beri penjelasan isu royalti - di Pentas GEGAR


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau bersedia memberi penjelasan berhubung isu tuntutan royalti minyak daripada kerajaan negeri Kelantan demi faedah rakyat Kelantan.

Beliau berkata penjelasan tersebut akan dibuat pada perhimpunan raksasa anjuran 51 NGO (GEGAR) di Kota Bharu dalam masa terdekat bagi seluruh rakyat Kelantan untuk mendapat gambaran sebenar mengenai perkara itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih lanjut dan tunggulah masanya nanti kerana saya dijemput hadir pada perhimpunan berkenaan," katanya semasa berucap dalam perjumpaan dengan penduduk Kampung Mercu Jaya, dekat Gua Musang hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, badan NGO itu sudah berbincang dengannya dan beliau telah memberi persetujuan untuk hadir pada perhimpunan terbesar rakyat Kelantan dan tarikhnya akan ditetapkan nanti.

"Mungkin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara yang saya nyatakan nanti tetapi diharapkan mereka memahami perkara sebenar," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan pusat mengumumkan pemberian wang ihsan menggantikan bayaran royalti minyak pada tahun depan kerana operasi carigali petroleum berada di luar tiga batu nautika daripada perairan Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan akan mengemukakan tuntutan royalti minyak di mahkamah berjumlah RM2 bilion sejak operasi carigali petroleum bermula 2005, mengikut perjanjian Petronas-kerajaan negeri 1974, yang ketika itu Tengku Razaleigh merupakan pengerusi Petronas.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, beliau menerima banyak desakan untuk menjelaskan perkara sebenar royalti minyak itu berikutan kegiatan cari gali minyak membabitkan pesisiran pantai Kelantan.

Katanya, segala-galanya mengenai isu berkenaan ada dalam pengetahuannya

kerana royalti minyak itu mempunyai jumlah yang besar membabitkan berbilion ringgit dan memberi faedah kepada rakyat negeri ini.

"Jumlah itu jika dibelanjakan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri ini memberi perubahan yang besar bagi seluruh daerah dan kemajuan berpanjangan.

"Oleh itu, saya sedia menerangkan apa yang sebenarnya terkandung dalam perjanjian cari gali minyak dan royalti yang sepatut diterimanya," katanya.- Bernama

Sumber: Malaysiakini.Com

Saturday, December 5, 2009

NGO Kelantan Dan Terengganu Tubuh Badan Khas Tuntut Royalti Minyak

Sumber: Bernama

KOTA BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) hari ini menubuhkan sebuah badan khas iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) bagi menuntut dan menggesa kerajaan persekutuan mengembalikan hak royalti petroleum di negeri itu.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata penubuhan badan itu disertai lebih 50 NGO di seluruh Kelantan dan Terengganu.

"Penubuhan Gegar ini kita wujudkan tanpa mengira fahaman politik, tidak mengira sempadan agama, bangsa mahupun parti politik yang disokong.

"Kita cuma mahu mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut seksyen 4 Akta 1975," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata buat permulaan badan terbabit akan mengadakan konvensyen rakyat yang akan membincangkan tajuk 'Royalti Petroleum Antara Hak atau Ihsan' di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

"Konvensyen terbabit akan diadakan secara terbuka untuk semua rakyat bagi sama-sama membincangkan dan bertukar pendapat mengenai isu ini secara terbuka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menjemput Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai sesi konvensyen rakyat itu.

"Sebelum ini Mampat pernah mengadakan satu konvensyen di Terengganu pada Julai 2008 dan telah disertai Tengku Razaleigh.

"Diharap pada tahun ini konvensyen yang akan diadakan di bawah Gegar ini akan dapat disertai beliau bagi memberi maklumat sebenar berkaitan isu royalti ini kepada rakyat," katanya.

Mohd Fauzi berkata hasil daripada konvensyen rakyat itu, Gegar akan turun ke seluruh negeri Kelantan dan Terengganu untuk mengadakan kempen bagi menggesa rakyat bersama menuntut hak royalti terbabit.

"Gegar juga menggesa badan-badan NGO lain yang berminat untuk menyertai Gegar dan sama-sama berusaha kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata," katanya.


-- BERNAMA

NGO tubuh Gegar tuntut royalti minyak

Sumber: Sinar Harian (Nasional)


KOTA BHARU - Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (Gabungan) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) semalam mengambil inisiatif dengan menubuhkan badan khas iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bagi menuntut Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak royalti petroleum di negeri itu.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata, penubuhan Gegar digembelingkan semua pihak tanpa mengira sempadan agama,politik dan bangsa bagi menuntut hak dan maruah rakyat dengan memberi maklumat dan kesedaran dengan pelbagai cara yang sewajarnya.

“Penubuhan badan ini disertai lebih 50 NGO di seluruh Kelantan dan Terengganu yang melibatkan pelbagai entiti, apa yang dilakukan ini adalah semata-mata untuk menuntut royalti berasaskan kepada Akta kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut seksyen 4 Akta 1975,” katanya kepada media di kediaman Menteri Besar Kelantan, di sini semalam.

Sehubungan dengan itu katanya, buat permulaan badan terbabit mengadakan konvensyen membincangkan tajuk ‘Royalti Petroleum Antara Hak atau Ihsan’ di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Sebelum ini ramai yang tidak menyedari bahawa Petronas telah menyedut minyak di negeri ini, siapa yang sembunyikan? Kita akan sedarkan kepada rakyat apa yang dimasukkan dengan royalti dan wang ihsan, ia adalah dua perkara berbeza,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menjemput Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyertai konvensyen rakyat itu.

”Mampat pernah mengadakan satu konvensyen di Terengganu pada Julai 2008 dan telah disertai Tengku Razaleigh.

”Gegar juga menggesa NGO lain yang berminat menyertai Gegar dan sama-sama berusaha kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata,” katanya.

Gegar akan jadi wadah perjuang royalti

Sumber: Harakahdaily
Rizal Tahir

KOTA BAHRU, 5 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) menggesa kerajaan supaya mengembalikan wang royalti kepada kerajaan Kelantan secara adil mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Pusat juga, sewajarnya menjelaskan hasil royalti kepada kerajaan Kelantan sebagaimana perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof, dalam sidang medianya memberitahu, bagi menjayakan hasrat yang dicapai itu juga, pihaknya akan mengembeling tenaga bersama semua masyarakat tanpa mengira faham politik, bangsa dan agama dengan memberi kesedaran pelbagai cara.

“Pada masa yang sama juga, Gegar akan menganjurkan Konvensyen Rakyat: Royalti Petroleum Antara Hak atau Ehsan? Di Kuala Lumpur Januari tahun hadapan,”ujarnya.

Menurutnya, bekas Menteri Kewangan yang juga Anggota Parlimen Gua Musang akan dijemput bagi menjayakan program yang julungkali akan dianjurkan Gegar itu.

Pada masa yang sama, menurutnya pihaknya akan mengambil tindakan-tindakan yang dirasakan berkesan, bersesuaian dan bertepatan mengikut keadaan dari masa ke semasa bagi mencapai matlamat di atas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua masyarakat di negara ini mengikuti program terbuka yang dianjurkan Gegar itu.

Gegar adalah gerakan yang menggabungkan 50 pertubuhan badan-badan Ngo di dua buah negeri.

Ianya ditubuhkan bukan sahaja untuk menuntut hak royalti rakyat Kelantan, sebaliknya Terengganu yang telah lama memperolehi hasil tersebut namun kedudukan negeri itu masih ditempat kedua kemiskinan di negara ini.

GEGAR Akan TUNTUT Royalti Minyak

Pengerusi Bersama GEGAR Dr. Abdul Halim Yusof (Kelantan) dan Mohd Fauzi Abu Samah (Terengganu) sedang menjawab beberapa soalan dari wartawan di sidang media.

KENYATAAN AKHBAR

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) ditubuhkan pada 5 Disember 2009 yang mewakili Gabungan Badan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang terdiri lebih daripada 50 buah badan bukan kerajaan (NGO).

Matlamat utama penubuhan GEGAR ialah bagi mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.


GEGAR akan;

i. Mengembelingkan semua pihak tanpa mengira sempadan agama, politik dan bangsa bersama menuntut hak dan maruah rakyat dengan memberikan maklumat dan kesedaran melalui pelbagai cara.

ii. Mengadakan Konvensyen Rakyat: Royalti Petroleum Antara Hak atau Ehsan? Di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

iii. Mengambil tindakan-tindakan yang dirasakan berkesan, bersesuaian dan bertepatan mengikut keadaan dari masa ke semasa bagi mencapai matlamat diatas.

Dengan itu GEGAR mengesa Kerajaan Persekutuan agar memahami isi hati rakyat dan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedaulatan negeri-negeri bilamana mereka menyertai Persekutuan Tanah Melayu seterusnya Malaysia.

Hadis Online